forex trading logo

Pengenalan PDF Print E-mail

 

Unit Pengurusan Sekolah bertanggungjawab merancang mengurus, menyelaras, memantau dan menganalisis program / aktiviti di peringkat daerah.  Unit pengurusan Sekolah terlibat dalam pengurusan penempatan dan pertukaran pelajar, penempatan dan pertukaran guru dan memantau pengurusan sekolah dalam daerah. 

Antara fungsi Unit Pengurusan Sekolah ialah pertukaran dan penempatan pelajar.  Terdapat tiga jenis penempatan yang diuruskan iaitu  :

  1.     Permohonan Pertukaran Sekolah antara Daerah dan Luar Daerah 

  •  Menerima  borang permohonan jadual ketiga yang disediakan oleh pihak sekolah
  •  Memproses dan menempatkan murid ke sekolah yang bersesuaian
  •  Menyediakan data kemasukan murid setiap bulan
  •  Mengurus dan menempatkan murid yang bertukar masuk dari luar daerah ke dalam daerah 

           Permohonan Rayuan Belajar Semula Kes Disiplin 

  • Menerima  borang permohonan rayuan belajar semula
  • Memproses dan menempatkan murid ke sekolah yang bersesuaian
  • Menyediakan data kes disiplin setiap bulan

  Permohonan Belajar Semula ke Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan

  • Menerima  borang permohonan belajar semula
  • Memproses dan menempatan murid ke sekolah yang bersesuaian
  • Menyediakan data kemasukan murid swasta setiap bulan
  • Mengurus dan menempatkan murid yang bertukar masuk dari luar negeri ke dalam daerah

     Selain itu, unit ini juga mengurus data fizikal sekolah ( bilangan bilik darjah sebenar ), mengumpul data enrolmen murid daripada pegawai data dan pihak sekolah.  Dari data-data yang diperolehi ini akan membantu unit pengurusan sekolah dalam penyediaan ABM Perjawatan sesebuah sekolah. Pengumpulan data yang betul dapat menentukan pembukaan dan penutupan kelas bagi sesi persekolahan baru untuk tahun berikutnya.

     Unit Pengurusan Sekolah juga dipertanggungjawabkan untuk memantau dan membimbing sekolah-sekolah dalam bidang pengurusan sekolah.  Biasanya unit ini akan mengadakan lawatan berfokus ke sekolah-sekolah bagi membimbing dan menyelia ke arah peningkatan prestasi sekolah secara menyeluruh.

     Bidang tugas unit pengurusan sekolah tidak hanya tertumpu kepada pengurusan murid tetapi pengurusan guru dalam daerah. Unit ini akan menguruskan pertukaran dan penempatan guru dalam daerah dan antara daerah dengan kerjasama pihak Jabatan Pelajaran Negeri.  Unit Pengurusan Sekolah juga bertanggungjawab menyebar luas tentang e-gTukar ke sekolah-sekolah bagi memberi peluang kepada guru-guru yang ingin bertukar dalam daerah ataupun luar daerah.  Malah pengurusan penempatan guru baru dan Guru Sandaran Tidak Terlatih juga di bawah bidang kuasa unit Pengurusan Sekolah.

     Unit Pengurusan sekolah juga terlibat dalam pelaksanaan pemulihan dan pendidikan khas di sekolah harian dan juga sekolah pendidikan khas.  Unit ini akan memantau dan membimbing pihak sekolah dalam melaksanakan program pemulihan dan pendidikan khas mengikut ketetapan Kementerian Pelajaran.

     Akhir sekali, unit ini juga bergerak berdasarkan arahan daripada Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri dari masa ke semasa.  Unit Pengurusan Sekolah secara am mengurus, menyelaras dan memantau murid, guru dan pengurusan sekolah dari peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat sekolah menengah.


 


Designed by The WebMaster of PPD Timur Laut