forex trading logo

Ujian PERMATApintar UKM1 PDF Print E-mail

 

     Ujian PERMATApintar UKM1 adalah ujian IQ berbentuk ujian dalam talian yang boleh dicapai melalui lawan web http://www.permatapintar.edu.my Ujian ini mengukur kebolehan verbal melalui pembendaharaan kata dan penaakulan (reasoning) secara logikal. Ia dibina oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Ujian saringan pertama PERMATApintar UKM1 ini adalah dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Ujian UKM1 merupakan saringan pertama untuk pelajar menyertai program-program.

 

1. Perkhemahan Cuti Sekolah PERMATApintar Negara di UKM (untuk pelajar berusia 9-15 tahun);
2. Program PERMATA Insan yang dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (untuk pelajar berusia 8 tahun sahaja)
3. Akademi PERMATApintar UKM iaitu sekolah khas pintar cerdas (untuk pelajar tingkatan 3 pada tahun 2010 yang akan memasuki tingkatan 4 Akademi pada tahun 2011).

 

     Ujian PERMATApintar UKM1 dibangunkan dan dilaksanakan secara dalam talian berasaskan web agar proses pencarian pelajar pintar cerdas dapat dilakukan secara menyeluruh dalam masa yang terhad dan tidak melibatkan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan ujian bertulis. Dengan itu, ujian ini tidak dijalankan secara bertulis (kertas dan pensil). Selain itu, ujian dalam talian ini dilaksanakan untuk membudayakan ICT dalam kalangan pelajar sekolah.

 

     Ujian ini digunakan untuk mengesan pelajar pintar cerdas di Malaysia seramai yang mungkin dan meliputi seluruh negara supaya prinsip “no child is left behind” dalam pencarian ini dapat didokong dengan sempurna. Oleh sebab itu, pihak sekolah, ibu bapa dan kaum kerabat serta masyarakat Malaysia perlu menggalakkan pelajar-pelajar mengambil ujian dalam talian ini. Jika tiada kemudahan kemudahan Internet, pihak-pihak yang prihatin perlu membantu membawa pelajar ke pusat-pusat komuniti di desa yang ada kemudahan Internet atau ke kafe siber dalam daerah masing-masing. Bagi pelajar yang telah mengambil ujian ini pada tahun 2009, mereka boleh mengambil ujian ini untuk mengikuti program-program pada tahun 2010. Pelajar akan dipilih berdasarkan skor kelayakan mengikut peringkat umur dan tiada sistem kuota dari segi jantina, bangsa, daerah, negeri dan jenis sekolah digunakan dalam pemilihan pelajar.

 

     Untuk menggunakan ujian saringan peringkat pertama ini, pelajar hanya perlu tahu perkara-perkara asas penggunaan komputer seperti: menggunakan tetikus dan papan kekunci. Oleh keranan ujian ini adalah terbuka dan tanpa pengawasan, perlu diingatkan bahawa pelajar tidak dibenarkan mendapatkan bantuan dari orang lain atau membuat rujukan semasa mengambil ujian saringan ini. Ibu bapa atau orang dewasa yang lain perlu menanamkan nilai murni KEJUJURAN kepada pelajar-pelajar ini. Setiap pelajar hanya dibenarkan mengambil ujian saringan ini sekali sahaja. Pelajar akan diminta memasukkan biodata mereka secara jujur sebelum memulakan ujian saringan ini. Maklumat ini akan digunakan untuk menghubungi pelajar dan ibubapa jika sekiranya terpilih mengikuti saringan ujian UKM2 dan USIM-1 dan program-program yang ditawarkan.

 

     Ujian saringan pertama ini sepatutnya diambil oleh pelajar tanpa persediaan dari segi latihan tentang ujian tersebut sebagaimana dengan peperiksaan di sekolah kerana pihak PERMATApintar dan PERMATA Insan ingin mengesan pelajar pintar cerdas semula jadi (nature) dan dikembangkan (nurture) bakat mereka melalui program PERMATApintar dan PERMATA Insan. Dengan itu, ibu bapa, guru dan kaum kerabat tidak perlu membantu pelajar untuk menjawab soalan dalam ujian ini semata-mata untuk terpilih dalam program-program yang disediakan. Orang dewasa yang terlalu mengharapkan pelajar-pelajar ini memasuki program dengan membantu pelajar perlu sedar bahawa pelajar akan mengalami tekanan emosi dan mental semasa mengikut program kerana tahap kemampuan mereka bukan yang sebenar tetapi dilakukan dengan bantuan orang dewasa. Dengan itu, ia bukan sahaja menyulitkan pelajar, malah pihak pengurusan dan tenaga pengajar juga turut mendapat kesusahan kerana terpaksa berhadapan dengan pelajar yang tidak berkemampuan untuk mengikuti modul-modul yang kami sediakan yang mencabar minda pelajar.

    

 


Designed by The WebMaster of PPD Timur Laut