forex trading logo

Pengurusan Sekolah Rendah PDF Print E-mail

 

PELAKSANAAN PENDIDIKAN WAJIB

1. Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah

Pendidikan wajib di peringkat rendah adalah satu undang-undang yang mengkehendaki setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang menetap di Malaysia yang mempunyai anak mencapai umur enam tahun pada hari pertama tahun persekolahan semasa, mendaftarkannya di sekolah rendah dan terus menjadi murid di sekolah rendah di sepanjang tempoh pendidikan rendah.

 

2. Tempoh Pendidikan Wajib

Tempoh pendidikan wajib adalah selama tempoh pendidikan rendah iaitu selama enam tahun.

 

3. Tarikh Pelaksanaan Pendidikan Wajib

Pendidikan wajib akan dilaksanakan mulai tahun 2003 yang meliputi murid Tahun 1.

 

4. Kanak-kanak yang Terlibat

-Kanak-kanak warganegara Malaysia

-Kanak-kanak yang tercicir tetapi tidak terlibat dengan Pendidikan Wajib hendaklah dibantu supaya mereka dapat bersekolah.

 

5. Proses Pendaftaran Seseorang Kanak-kanak untuk Bersekolah di Sekolah Rendah

KPM, JPN, PPD serta sekolah membuat pengumuman tentang pendaftaran anak-anak ke sekolah rendah dengan cara berikut:

-Permohonan Penempatan

Ibu bapa adalah di antara pemohon membuat permohonan penempatan bagi anaknya untuk belajar di Tahun 1 di sekolah rendah yang berhampiran dengan tempat tinggalnya. Permohonan penempatan ini boleh dibuat pada sepanjang bulan Mac.

-Pengesahan Penempatan ke Tahun 1

Ibu bapa dinasihatkan membuat pengesahan penempatan ke Tahun 1 di sekolah rendah di mana anaknya akan ditempatkan apabila menerima maklumat berkenaan yang akan disampaikan oleh sekolah atau PPD atau JPN sepanjang bulan Ogos. Penempatan seseorang kanak-kanak ke sesebuah sekolah tidak semestinya sama dengan yang dipohon semasa membuat permohonan penempatan. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan permohonan ke sesuatu sekolah boleh ditolak.

-Rayuan

Ibu bapa boleh membuat rayuan mengenai penempatan sekolah anaknya kepada sekolah atau PPD atau JPN. Sebarang keputusan yang telah dibuat hasil daripada rayuan adalah muktamad. Ibu bapa yang telah berpindah ke tempat tinggal yang baru hendaklah memberitahu sekolah tentang alamat barunya dan memohon supaya anaknya ditempatkan di sekolah baru mengikut alamatnya yang terkini.

-Pendaftaran Hari Pertama Persekolahan

Ibu bapa hendaklah membawa anaknya untuk berdaftar pada hari pertama persekolahan dengan membayar yuran-yuran yang dikenakan oleh sekolah berdasarkan kepada amaun yang telah ditetapkan dan diluluskan oleh KPM.

-Pertukaran Sekolah Sebelum Pendaftaran Hari Pertama Persekolahan

Ibu bapa yang telah membuat pendaftaran awal atau telah mengesahkan penerimaan penempatan ke sekolah rendah tetapi berpindah ke tempat baru sama ada dalam daerah yang sama atau dalam negeri lain hendaklah memaklumkan kepada sekolah lama terlebih dahulu sebelum memohon untuk membuat pendaftaran baru ke sekolah di tempat tinggalnya yang baru. 

 

6. Penalti

Kegagalan ibu bapa memastikan anaknya mengikut pendidikan wajib adalah merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang. Jika disabitkan dengan kesalahan, ibu bapa berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5000 atau dipenjarakan tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

 

7. Pertanyaan

Sebarang pertanyaan mengenai pendidikan wajib ini boleh dirujuk kepada sekolah berhampiran, PPD, JPN, dan Bahagian Sekolah, KPM.

 

PERSEKOLAHAN AWAL

PERMOHONAN KELONGGARAN SYARAT BAGI KEMASUKAN KANAK-KANAK

DI BAWAH UMUR KE TAHUN 1

 

1. Pengenalan

Bermaksud permohonan kelonggaran syarat yang membolehkan kemasukan awal kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun ke tahun satu berbanding tahun persekolahan wajib sepatutnya. Permohonan akan diproses dan diuruskan berdasarkan daripada permohonan ibu bapa yang dikemukakan melalui JPN. Kelonggaran syarat hanya diberikan kepada kanak-kanak(warganegara) yang dilahirkan pada tarikh 2 hingga 15 Januari, telah mengikuti kelas tadika dan memenuhi kriteria yang ditetapkan melalui proses temuduga dan ujian. Permohonan hendaklah dikemukakan pada tahun sebelum sesi persekolahan sebenar berlangsung. Menteri Pelajaran adalah pemutus muktamad untuk meluluskan atau tidak permohonan tersebut.

2. Punca Kuasa

Surat Siaran KP (BS/PSR) 8502/03/005 Jld.22(10) bertarikh 5 Mac 2003 dan dibaca bersama SPI Bil.3/2001 bertarikh 22 Mac 2001, SPI Bil.14/2001 bertarikh 27 November 2002.

3. Kriteria dan Prosedur/Syarat

  • -Kanak-kanak warganegara yang dilahirkan pada tarikh 2 hingga 15 Januari.
  • -Ibu bapa atau penjaga yang sah adalah warganegara Malaysia.
  • -Permohonan hendaklah dibuat oleh ibu bapa atau penjaga yang sah berasaskan keperluan dan tidak boleh diiklankan dengan menggunakan borang (BPSH.SPSR/PMA).
  • -Kanak-kanak sedang atau telah mengikuti kelas tadika.
  • -Permohonan hendaklah dikemukakan mulai bulan Jun hingga Ogos ke JPN.
  • -Kanak-kanak perlu menduduki temuduga dan ujian yang dikendalikan oleh JPN.
  • -Keputusan kelulusan permohonan adalah muktamad dan tiada rayuan.

 

 

 

 

 


Designed by The WebMaster of PPD Timur Laut